Inisiatif ini diperkenalkan bagi memupuk kesedaran mengenai bahaya pengambilan gula berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan pekerja dan majikan. Melalui inisiatif ini, usaha dilakukan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap pengambilan gula serta menanam budaya TOLAK GULA dalam kehidupan seharian.
Pengambilan gula secara berlebihan merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada penyakit tidak berjangkit (NCD). Penyakit seperti kencing manis, hipertensi, kolesterol tinggi dan obesiti bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah boleh menyebabkan penurunan produktiviti kerja yang ketara serta meningkatkan risiko kematian pramatang dalam kalangan pekerja.
Kesan ini bukan sahaja memberi impak kepada individu dan keluarga, malah turut menjejaskan produktiviti organisasi serta pembangunan ekonomi negara. Marilah kita TOLAK GULA dalam kehidupan seharian supaya lebih sihat, cergas dan produktif.
