Pekerja Asing

Bermula 1 Januari 2019, semua majikan dikehendaki mendaftar pekerja asing yang diambil bekerja untuk perlindungan Skim Bencana Kerja PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 ( Akta 4 ). Caruman bagi skim ini ditetapkan pada kadar 1.25% daripada gaji bulanan dan dibayar setiap bulan oleh majikan. Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian iaitu melalui portal ASSIST PERKESO atau dengan melengkapkan Borang Pendaftaran Pekerja Asing dan dikemukakan ke pejabat PERKESO yang berdekatan.

Pekerja asing yang sedia ada dalam Malaysia dan masih dilindungi di bawah Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA) yang sah hendaklah didaftar dengan PERKESO oleh majikan sehari selepas tamat tempoh matang SPPA yang tertakluk kepada tarikh akhir SPPA pada 31 Disember 2019 ( cooling period ). Mulai 1 Januari 2020, semua majikan hendaklah berdaftar dengan PERKESO walaupun pekerja asing tersebut masih diliputi di bawah SPPA.

Pekerja asing yang baru masuk untuk bekerja di Malaysia pada atau selepas 1 Januari 2019 hendaklah berdaftar dengan PERKESO sebaik mereka mendapat pengesahan Jabatan Imigresen Malaysia di mana-mana tempat kemasukan ( port of entry ) yang diwartakan.

Syarat Kelayakan

  • Mempunyai pasport dan pas khas untuk pekerja asing baharu
  • Mempunyai pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara ( PLKS ) atau pas kerja yang sah untuk pekerja asing yang sedia ada.

Pendaftaran

Pendaftaran pekerja hendaklah dilakukan oleh majikan manakala pekerja bertanggungjawab untuk memastikan diri anda didaftar dan caruman dibayar sepenuhnya oleh kedua-dua pihak. Sila ke laman pendaftaran majikan untuk mengetahui lebih lanjut.

Faedah

Faedah Perubatan

Pekerja asing yang ditimpa bencana pekerjaan boleh mendapat rawatan perubatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik/hospital kerajaan; atau membuat tuntutan bayaran ganti belanja kos rawatan perubatan di Pejabat PERKESO.

Bayaran Ganti Belanja

Bagi caj rawatan yang diperoleh dari klinik/hospital bukan panel PERKESO, majikan atau pekerja asing boleh mengemukakan permohonan tuntutan ganti belanja dan bayaran tertakluk kepada Akta Fi 1951.

Faedah Hilang Upaya Sementara

Tempoh Hilang Upaya Sementara

  • Faedah ini dibayar kepada pekerja asing sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya 4 hari termasuk hari kemalangan.
  • Walau bagaimanapun, faedah ini TIDAK akan dibayar pada hari di mana pekerja asing hadir bekerja dan dibayar gaji.

Kadar Faedah Hilang Upaya Sementara

  • Kadar harian faedah ini adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja asing tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM132.00 sehari.
Faedah Hilang Upaya Kekal

Pekerja asing yang mengalami hilang upaya kekal akibat bencana pekerjaan boleh memohon faedah ini.

Kadar Faedah Hilang Upaya Kekal

  • Kadar harian faedah ini adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja asing tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari.

Tempoh Tuntutan

  • Had masa membuat tuntutan adalah dalam tempoh 12 bulan dari tarikh terakhir hilang upaya sementara.

Taksiran dan Pembayaran

  • Tuntutan akan dirujuk ke Jemaah Doktor untuk taksiran hilang upaya kekal.
  • Sekiranya taksiran tidak melebihi 20%, bayaran boleh dibuat secara pukal.
  • Sekiranya taksiran melebihi 20%, 1/5 daripada kadar harian faedah tersebut dibayar secara pukal dan bakinya dibayar secara bulanan sepanjang hayat.
Elaun Layanan Sentiasa

Pekerja asing yang menerima taksiran hilang upaya langsung yang kekal (100 peratus) dan memerlukan layanan seseorang lain, layak menerima elaun ini dengan pengesyoran Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan.

Jumlah bayaran ini adalah sebanyak RM500.00 sebulan.

Kemudahan Pemulihan

Kemudahan ini diberikan kepada pekerja asing yang layak dalam bentuk pemulihan jasmani termasuk:

  1. Fisioterapi
  2. Pembedahan rekonstruktif
  3. Bekalan prostetik, ortotik dan lain-lain alat
  4. Bekalan ortopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kasut khas dan lain-lain

Semua perbelanjaan kemudahan pemulihan di atas ditanggung oleh PERKESO mengikut kadar dan syarat-syarat yang ditetapkan.

Faedah Orang Tanggungan

Orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja asing meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

Kadar Faedah Orang Tanggungan

  • Kadar harian adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja asing tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari mengikut syer kadar harian orang tanggungan.

Orang Tanggungan dan Syer Kadar Harian.

i. Orang tanggungan dan syer kadar harian adalah mengikut keutamaan berikut:

Orang Tanggungan Syer Kadar Harian Keterangan
Balu/Duda 3/5 Layak menerima faedah seumur hidup meskipun balu atau duda berkahwin semula

Anak (Semua anak yang memenuhi syarat layak mendapat faedah termasuk anak kandung, anak tiri yang disara, anak angkat atau anak tidak sah taraf)

2/5 Layak menerima faedah sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (yang mana terdahulu)


Jika sedang belajar di Institusi Pengajian Tinggi, faedah dibayar sehingga mendapat ijazah pertama atau berkahwin (yang mana terdahulu)
Bagi anak yang terencat akal atau menjadi tidak berupaya secara fizikal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, layak menerima faedah selama tidak berupaya menyara kehidupannya


ii. Jika seseorang pekerja meninggal dunia akibat bencana pekerjaan dan tidak meninggalkan balu atau, duda atau anak, Faedah Orang Tanggungan akan dibayar kepada:

Orang Tanggungan Syer Kadar Harian Keterangan
Ibu/Bapa 4/10 Layak menerima faedah seumur hidup
Adik-beradik 3/10 Layak menerima faedah sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (yang mana terdahulu
Nenek/datuk 4/10 Layak menerima faedah seumur hidup

 

Faedah Pengurusan Mayat

Pembayaran faedah akan dibuat kepada waris yang layak atau pihak yang menanggung kos pengebumian. Jumlah bayaran adalah jumlah sebenar perbelanjaan ataupun maksimum amaun bayaran mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.

Amaun maksimum bayaran faedah ini adalah seperti di bawah:

  • Jika kematian berlaku di Malaysia dan pengebumian berlaku di negara asal, bayaran tunai maksimum sebanyak RM6,500 termasuk kos penghantaran jenazah/abu ke negara asal.
  • Jika kematian dan pengebumian hanya berlaku di Malaysia, amaun maksimum sebanyak RM2,000 akan dibayar.
  • Bagi penerima faedah berkala, jika kematian dan pengebumian berlaku di negara asal, amaun maksimum sebanyak RM2,000 akan dibayar.

Faedah Skim Keilatan 

Inisiatif Tambahan - Kos Penghantaran Pulang Jenazah

Selain faedah yang dinyatakan di atas, PERKESO juga ada memberikan inisiatif tambahan sekiranya pekerja asing meninggal dunia di Malaysia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaannya.

Kos penghantaran pulang jenazah/abu pekerja asing yang telah meninggal dunia ke negara asal boleh dibayar balik oleh PERKESO maksimum sebanyak RM4,500.00 berdasarkan resit (tertakluk kepada perubahan semasa).

Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

1-300-22-8000

Copyright 2023 © Social Security Organisation | All rights reserved