CARUMAN

Liputan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969

Majikan perlu membayar caruman bulanan bagi setiap pekerja yang layak mengikut kadar yang telah ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969. Caruman ini terbahagi kepada dua (2) jenis:

Caruman Jenis Pertama

Untuk pekerja yang berumur kurang daripada 60 tahun, caruman kena dibayar oleh majikan dan pekerja adalah untuk Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan. Kadar caruman di bawah jenis ini adalah terdiri daripada 1.75% syer majikan dan 0.5% syer pekerja berdasarkan gaji bulanan pekerja itu, mengikut kadar jadual caruman yang telah ditetapkan.

Nota: Semua pekerja yang belum mencapai umur 60 tahun perlu dicarumkan di bawah Jenis Pertama kecuali bagi pekerja yang telah mencapai umur 55 tahun dan tiada caruman telah dibayar sebelum 55 tahun kerana tidak layak di bawah Akta Keselamatan Sosial 1969.

Caruman Jenis Kedua

Kadar caruman di bawah jenis ini adalah daripada syer majikan sahaja, iaitu sebanyak 1.25% daripada gaji bulanan pekerja itu, mengikut jadual caruman yang telah ditetapkan. Semua pekerja yang telah mencapai umur 60 tahun perlu dicarumkan di bawah Jenis Kedua bagi perlindungan Skim Bencana Pekerjaan sahaja.

Nota: Bagi pekerja baharu yang mulai umur 55 tahun, mereka hendaklah dicarumkan di bawah Jenis Kedua.

Liputan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017

Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 telah diperkenalkan dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2018.

Takrif Liputan

Semua majikan sektor swasta perlu membayar caruman bulanan bagi setiap pekerja. (Dikecualikan kepada penjawat awam, pekhidmat domestik dan yang bekerja sendiri). Pekerja adalah orang yang diambil bekerja oleh majikan di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan. Kontrak perkhidmatan atau perantisan itu sama ada dalam bentuk bertulis atau secara lisan, nyata atau tersirat. Semua pekerja yang berumur dari 18 tahun hingga 60 tahun perlu dicarumkan kecuali bagi pekerja yang berumur 57 tahun dan ke atas dan tiada caruman telah kena dibayar sebelum mencapai 57 tahun. Takrif liputan caruman adalah tertakluk kepada had siling gaji yang diinsurankan (GYD) RM4000.00.

Kadar Caruman

Kadar caruman bagi Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) adalah daripada 0.2% syer majikan dan 0.2% syer pekerja daripada gaji bulanan pekerja. Kadar caruman adalah tertakluk kepada Jadual Kedua Seksyen 18 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017. Semua majikan sektor swasta perlu membayar caruman bulanan bagi setiap pekerja. (Dikecualikan kepada penjawat awam, pekhidmat domestik dan yang bekerja sendiri).

Kelayakan Pekerja Yang Diinsurankan Untuk Tuntutan

Semua pekerja yang diinsuranskan (dimaksudkan sebagai orang berinsurans) yang kehilangan pekerjaan kecuali:

  • Perletakan jawatan secara sukarela oleh orang berinsurans;
  • Tamat tempoh kontrak perkhidmatan orang berinsurans;
  • Penamatan kontrak perkhidmatan atas persetujuan bersama majikan dan orang berinsurans tanpa terma dan syarat;
  • Penyiapan kerja mengikut kontrak perkhidmatan;
  • Persaraan orang berinsurans ; atau
  • Penamatan kontrak perkhidmatan orang berinsurans disebabkan oleh salah laku.

    Syarat kelayakan utama yang perlu dipenuhi oleh penerima faedah adalah mereka mesti mampu bekerja, bersedia untuk bekerja dan mencari pekerjaan secara aktif.

[Disclaimer] - SOCSO is not responsible for any damage or loss caused by using the information in this website. Screen Resolution: 1024 x 768 | Browser : Mozilla Firefox  and Google Chrome.  Website updated on 20 October 2020.

Copyright 2020 © Social Security Organisation | All rights reserved