Pendaftaran Majikan & Pekerja
-
Majikan dan pekerja baharu mesti didaftarkan dengan PERKESO dalam tempoh tidak lewat daripada 30 hari dari tarikh Akta dipakai bagi perusahaan itu. Bagi tujuan pendaftaran, majikan dikehendaki mengisi Borang Pendaftaran Majikan (Borang 1) serta Borang Pendaftaran Pekerja (Borang 2) bersama dengan dokumen yang ditetapkan (sila dapatkan senarai semak menerusi laman sesawang atau pejabat PERKESO) dan mengemukakannya ke pejabat PERKESO berdekatan.
-
Jika berlaku perubahan nama, alamat, jenis, status ketuanpunyaan perusahaan atau pekerja, majikan hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada PERKESO.
Pendaftaran Pekerja Baharu
- Majikan yang mengambil pekerja baru yang layak di bawah Akta hendaklah mendaftarkan pekerja tersebut menggunakan Borang 2, biarpun pekerja tersebut pernah berdaftar dan mencarum dengan PERKESO ketika bekerja di majikan terdahulu.
Rekod Daftar Pekerja
- Majikan hendaklah menyelenggara dan menyimpan rekod daftar pekerja yang menunjukkan butir-butir berikut bagi tiap-tiap bulan untuk setiap pekerja:
i. Nama
ii. Nombor Kad Pengenalan Pendaftaran Negara
iii. Pekerjaan
iv. Butiran Caruman
v. Gaji Bulanan
vi. Elaun-elaun - Daftar pekerja dan semua rekod bayaran caruman hendaklah disimpan selama tujuh (7) tahun dari tarikh catatan terakhir.
Pemberhentian Sebagai Majikan
- Setiap majikan yang berhenti daripada menjadi majikan (majikan aktif tetapi tiada pekerja, majikan tutup sementara dan majikan tamat perusahaan) hendaklah memaklumkan kepada PERKESO dengan mengemukakan Borang Pemberhentian Sebagai Majikan (Borang 1A) bersama dokumen berkaitan dalam tempoh 30 hari dari tarikh tersebut.
Takrif Gaji
-
Semua pembayaran berbentuk wang kepada pekerja dianggap sebagai gaji yang layak dicarumkan dengan PERKESO. Pembayaran-pembayaran berkenaan seperti:
i. Upah
ii. Kerja lebih masa
iii. Komisyen dan caj perkhidmatan
iv. Cuti sakit, bersalin, rehat, kelepasan am dan sebagainya
v. Elaun-elaun insentif, shif, makan, sara hidup, perumahan dan sebagainya -
Semua pembayaran tersebut akan dibayar kepada pekerja sama ada bayaran mengikut jam, harian, mingguan, bulanan, hasil kerja (piece rated / task rated) adalah dianggap sebagai gaji. Walau bagaimanapun, pembayaran-pembayaran berikut tidak dianggap sebagai gaji:
i. Pembayaran oleh majikan kepada tabung kumpulan pekerja
ii. Pembayaran ke atas tuntutan perjalanan
iii. Pembayaran ke atas persaraan atau pemberhentian pekerja
iv. Bonus tahunan
Nota : Bagi penjelasan lanjut berkaitan dengan takrif gaji, sila hubungi mana-mana pejabat PERKESO atau Talian Khidmat Pelanggan PERKESO 1 300 22 8000.