HEBAHAN BORANG AKUAN TAHUNAN (PERATURAN 117)

KEPERLUAN MENGEMUKAKAN BORANG AKUAN TAHUNAN (PERATURAN 117) BAGI PEMBAYARAN BERKALA PERKESO TAHUN 2022

Adalah dimaklumkan bahawa di bawah Peraturan 117, Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971, Orang Berinsurans / Orang Tanggungan yang menerima pembayaran faedah secara berkala hendaklah mengemukakan kepada PERKESO  suatu akuan borang sebagaimana ditetapkan oleh Pertubuhan tiap-tiap dua belas bulan sekali.

Akuan ini hendaklah ditandatangani di hadapan mana-mana orang lain yang diluluskan oleh Ketua Eksekutif PERKESO, atau Majistret atau Akauntan Berkanun atau Akauntan Bertauliah atau Akauntan Berdaftar atau Notari Awam atau Pegawai Kerajaan Kumpulan A atau B atau Penghulu atau Penggawa atau Kadi atau Imam atau Paderi atau Ketua Balai Polis atau  Guru Besar. Borang akuan ini akan diedar kepada semua penerima faedah yang terlibat secara berperingkat mulai 12 September 2021.Borang yang telah dilengkapkan mesti dikembalikan ke Pejabat PERKESO selewat-lewatnya pada 30 Oktober 2021.

Bagi pembayaran faedah berkala tahun 2022, hanya penerima bagi kategori berikut sahaja yang perlu melengkapkan Borang Akuan Tahunan (Peraturan 117) ini:

  • Penerima faedah berkala yang dibayar melalui pejabat PERKESO.
  • Penerima faedah berkala yang melibatkan bayaran seberang laut dan pemegang pasport.
  • Penerima faedah berkala melibatkan lebih dari satu penjaga.
  • Penerima faedah balu / duda dengan satu anak atau ibu / bapa dengan satu adik yang mencapai umur 18 tahun pada tahun 2022.
  • Penerima faedah berkala tunggal yang melibatkan anak atau adik yang mencapai umur 18 tahun pada tahun 2022.
  • Penerima faedah berkala yang gagal mengemukakan Borang 117 bagi tahun sebelumnya.

Pembayaran faedah tahun 2022 bagi  penerima seperti yang dinyatakan di atas akan dihentikan dan hanya akan diteruskan apabila Borang Akuan Tahunan (Peraturan 117) yang telah disempurnakan diterima oleh PERKESO.

Penerima  faedah PERKESO dinasihatkan untuk berurusan terus dengan mana-mana Pejabat PERKESO yang berhampiran sekiranya ada sebarang kemusykilan dan elakkan daripada menggunakan orang tengah dalam sebarang urusan PERKESO.

 

PERTUBUHAN KESELAMATAN SOSIAL

06 SEPTEMBER 2021